Sunday, October 18, 2009

Fresher's Camp 2009

Fresher's Camp 2009. Nama seindah rupa. Aku sertai kem ini kerana aku sedar aku memang seorang fresher walaupun aku merupakan 'direct entry student' di University of Sheffield. Secara ringkasnya, kem ini memang menarik. Ada perbahasan, ceramah dan perkongsian pengalaman daripada senior-senior yang telah lama menetap di bumi UK ini. Trimas kepada Firdaus Notts kerana sudi berkongsi pengalamannya ketika melancong ke Turki. Tidak dilupakan juga, Akmal Warwick yang memperingatkan kami semua supaya menggunakan masa di UK sebaik mungkin untuk mencuba benda-benda baru yang dikira menarik. Kepada kak Aida Manchester, walaupun ceramahmu memberatkan kedua belah mataku, trimas juga diucapkan. Tingkahlaku kak Aida matang menjangkaui usia, yang mana amat berbeza sekali berbanding aku dan rakan-rakan di Sheffield. Kepada penceramah jemputan, ceramah anda juga best walaupun aku hanya mencapai tahap fokus sebanyak 2%. Jutaan terima kasih juga ditujukan kepada senior-senior yang bersusah payah dalam menjayakan kem ni.



Apa yang best kat kem ni...

  • Yang paling aku nampak ialah aku boleh keluar dari Sheffield buat pertama kalinya selepas 3 minggu di sini.
  • Pastu, boleh kenal freshers lain dari Leeds, Warwick, Nottingham dan juga Sheffield.
  • Pengalaman tidur di dalam khemah dalam suhu macho iaitu 10 darjah Celcius. Boleh main asap lagi tanpa perlu menyalakan rokok.
  • Makan dalam talam (ini memerlukan skill memilih partner yang kecik dan kurang makan)
  • Makan BBQ di kawasan hutan dalam England.

Sessi bercerita sambil mengarut

Solat di tengah padang (aku rasa stylo)

Masa ceramah (kasut Bulu dan aku)

Masa perbahasan dan mengarut

Khemah tempat tidur aku (khemah campak sahaja)

Wednesday, October 14, 2009

Ting Tong

Huh, kalau yang dulu cerita pasal dekat KLIA, yang ini cerita psl perjalanan ke London-Heathrow-Manchester-Sheffield. Perjalanan menaiki kapal terbang ke London memakan masa lebih kurang 13 jam. Aku dan rakan-rakan agak kebosanan selepas 3 jam atas penerbangan. Alhamdulillah kami dikurniakan seorang pramugari dan seorang pramugara yang agak superb dan boleh dijadikan contoh oleh pramugara dan pramugari lain. Agak mesra dan tak kerek. Yang pramugari sure aku ingat namanya, Syariah Awang. Sebab dia bagi business card kat aku dan rakan-rakan. Yang pramugara, jasamu dikenang sebab bagi coklat Ferrero Rocher lebih. Lebih kurang pukul 5 pagi waktu London, kapal terbang mendarat di Heathrow. Keadaan agak lengang sebab waktu masih awal dan gelap. Misi seterusnya ialah mencari tempat untuk solat Subuh, yang sememangnya ada satu sahaja dekat Heathrow Airport. Masa ambik wuduk, toilet di balai ketibaan domestik basah lencun dek kejakunan aku dan rakan-rakan mengambil wuduk menggunakan air daripada sinki. Nak berak dekat Heathrow, memang susah...

Rakan-rakan terbang
Dari kiri: Jamil, Thoriq, aku, K-En dan Juju


Aku dan rakan-rakan melepak di airport sehingga jam 11.50 pagi waktu tempatan. Masa security check, hanya aku disuruh menanggalkan kasut, mungkin kerana aku berjanggut dan rakan-rakan lain tidak. Begitulah pandanganku. Penerbangan seterusnya naik pesawat BMI, pesawat tempatan yang aku tidak tahu asal usulnya. Kata senior, BMI adalah low-cost carrier yang termahal di UK. Penerbangan di langit UK jauh berbeza dengan penerbangan di Malaysia. Keadaan agak mendung di bawah dek awan yang amat tebal, namun matahari memancar terik di atas awan. Sakit mata masa aku dan rakan-rakan sibuk mencari Old Trafford dari udara sebelum mendarat di Manchester.

BMI ke Manchester

Setibanya di Manchester, aku menyedari kesilapan paling bangang yang dilakukan oleh petugas KLIA. Beg aku yang mengandungi LCD monitor tidak dilabel 'FRAGILE' sebaliknya kotak yang mengandungi makanan seperti maggi dan rempah ratus dilabel 'FRAGILE'. Haishh...
Kak Eica selaku ketua ajk sambutan pelajar Sheffield Malaysian Students Association (SMSA) menjemput kami di Manchester bersama-sama En. Zahar, pegawai MARA yang bertanggungjawab menjaga kami di UK.
Dari Manchester ke Sheffield, perjalanan selama sejam diharungi menaiki van. UK agak cantik, cuma kesejukan menyebabkan aku sakit kepala. Di sini, aku belajar menghargai cahaya matahari dan kepanasan. Sampai sahaja di Sheffield, aku dan rakan-rakan yang bakal tinggal serumah dibawa ke rumah kami di Holberry Close, kira-kira 15 minit berjalan kaki ke Mappin building, iaitu fakulti kejuruteraan di universiti. Dah ada 2 orang senior final year dan pelajar 1st year yang tinggal di rumah sewa aku yang berkapasiti 6 orang. Agak menarik kerana rumah ini terlebih tinggi dan kurang lebar. Asalkan aku mampu tidur dengan selesa dan tiada alasan untuk tidak belajar. Yang terbaiknya, semua ahli rumah aku pandai masak, mungkin aku yang paling 'noob'. Hahaha...

Rumahku di Holberry Close

1st day di Sheffield

Gambar hiasan: Bukti menunjukkan aku hidup cukup makan di Sheffield

Thursday, October 8, 2009

Sekitar KLIA 27 September 2009

Akhirnya, tarikh yang ditunggu-tunggu tiba. Perasaan aku kosong, tiada lagi rasa teruja.Menyambung pelajaran ke Sheffield, United Kingdom bagiku bukanlah suatu masa untuk bergembira. Aku sedar bahawasanya aku adalah insan yang perlu rajin untuk mencapai kejayaan. Tepat pukul 6 petang, aku dan keluarga tiba di KLIA. Penerbangan ke London-Heathrow dijadualkan pukul 11.40 malam. Masa menunggu dihabiskan bersama keluarga. Terima kasih kepada mereka-mereka yang datang menghantar aku ke KLIA. Namun, apa yang paling penting, aku perlu berterima kasih kepada keluargaku, terutamanya kedua ibu bapaku yang membantu aku untuk sampai ke tahap ini. Namun, mungkin aku terlalu bodoh, sehinggakan aku tidak mampu mengungkap segalanya dengan kata-kata. Akhir kata, terima kasih...


Ahli keluargaku yang datang memeriahkan suasana

Adik aku yang ngok ngek. InsyaAllah akan ke US tahun hadapan